Saturday, 29 October 2011

Berkomunikasi dengan angkasawan ISS

Tarik minat Generasi muda  Malaysia kepada bidang Sains Angkasa

SERAMAI 20 pelajar dari pelbagai sekolah seluruh negara berpeluang untuk bercakap dan bertanyakan soalan kepada angkasawan Jepun dari Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). 

Program yang dianjurkan oleh Planetarium Negara , Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) itu mengambil masa selama hampir 10 minit berhubung dengan angkasawan JAXA, Dr. Satoshi Furukawa di ISS yang sedang mengorbit bumi. 

Seramai 20 pelajar tersebut merupakan antara yang terpilih dalam pertandingan National Space Challenge 2011 peringkat kebangsaan, mewakili 16 pasukan sekolah daripada 13 buah negeri seluruh Malaysia.
"Tujuan  program ini adalah untuk memberi kesempatan kepada pelajar merasai pengalaman berkomunikasi dengan angkawasan di luar bumi.

"Selain itu, dapat mencungkil serta memupuk minat mereka dalam bidang penerokaan angkasa lepas,"

20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR



KUALA TERENGGANU 29 Okt. - Seramai 20,133 murid sekolah rendah di seluruh negeri ini hari ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya khatam al-Quran beramai-ramai sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Lebih unik, sebahagian daripada mereka yang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu turut menggunakan buku elektronik, e-book untuk khatam al-Quran pada majlis berasingan yang diadakan serentak di setiap Parlimen di negeri ini.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, seramai 6,325 murid telah khatam dan diraikan pada majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Serentak dengan itu, seramai 3,149 murid turut menjayakan majlis serupa bertempat di Masjid Nasiruddin, Besut, diikuti 2,311 murid di Masjid Permaisuri, Setiu dan 2,744 murid di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang.

Lain-lain ialah 1,910 murid di Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu; 2,024 murid (Dataran Padang Merdeka Dungun) dan 1,670 murid (Masjid Sultan Ahmad, Kemaman).
Program itu merupakan anjuran bersama Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).
Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Khazan berkata, jumlah murid yang berjaya khatam al-Quran tahun ini lebih ramai berbanding 16,929 murid pada tahun lalu.
"Lebih istimewa, mereka berkesempatan menggunakan 3,200 unit e-book pemberian kerajaan negeri bagi menjayakan majlis khatam al-Quran tahun ini berbanding hanya 400 unit bagi setiap Parlimen pada tahun lalu," ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab kepada YIT untuk menyasarkan 30,000 murid yang khatam al-Quran di negeri ini pada setiap tahun.
"Pada masa akan datang, kerajaan negeri sasarkan tiada ada lagi pelajar yang memasuki sekolah menengah di Terengganu tidak khatam al-Quran, selain melaksanakan objektif KAFA iaitu semua murid tahun 6 fasih al-Quran," ujarnya.

Ustaz Master Sulaiman Ismail: JADUAL

Ustaz Master Sulaiman Ismail: JADUAL: Sila rujuk Kem cuti sekolah 2011 . Terima Kasih

Saturday, 15 October 2011

RANCANG aktiviti anak di musim Cuti Sekolah




Cuti sekolah masa paling seronok buat anak melarikan diri sementara daripada alam persekolahan. Jika anak melalui tempoh itu dengan kegiatan bermanfaat seperti membaca, memperdalamkan ilmu fardu ain, melazimkan diri ke masjid dan surau, mereka berpotensi menjadi generasi cemerlang.

Sebaliknya, jika mereka menghabiskan tempoh itu dengan aktiviti tidak berfaedah seperti menonton program hiburan melampau, menyalahgunakan internet dan membaca majalah hiburan, maka tergugat masa depannya.

Kita perlu ingat, anak lazimnya bersifat kurang matang apabila berdepan cabaran. Mereka mudah terpedaya dengan apa juga cabaran di keliling. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak supaya tidak terpedaya dengan anasir buruk yang akan merosakkan masa depan mereka.

Firman Allah SWT bermaksud: 

Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim: 6)


Anak sekarang berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang terlalu banyak. Bukalah saluran televisyen manapun, pasti ada program hiburan tersedia. Sesetengah program hiburan itu amat diminati oleh anak kita.

Ini menyebabkan mereka sanggup menghabiskan masa cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di televisyen dan internet. Implikasinya, anak bukan saja lemah pencapaian dalam pelajaran, malah berdepan masalah keruntuhan akhlak berpunca daripada pengaruh hiburan melampau.

Apa yang perlu dilakukan ialah memantau serta membimbing secara serius dan berterusan anak kita supaya tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata. Ibu bapa perlu setiap hari bertanyakan anak apa yang mereka lakukan sepanjang hari. Apakah mereka sudah bersolat dan mengulangkaji pelajaran supaya tugas mereka sebagai pelajar tidak dipersiakan.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak dengan memerhati laman web yang dilayari dan memantau sistem pesanan ringkas (SMS).

Satu lagi cabaran dihadapi ibu bapa ialah mengawal pengaruh kawan dalam kehidupan anak dan bagi tujuan itu, ibu bapa perlu tahu siapa kawan anak mereka. Dengan cara itu mudah-mudahan ibu bapa dapat mengawal anak daripada terjerumus ke lembah kehancuran.

Hayatilah pesanan Nabi yang bermaksud: 

Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti saudagar minyak wangi dan tukang besi. Peniaga minyak wangi akan memercikkan minyak wanginya atau dapat membeli daripadanya atau mencium bau wanginya. Manakala tukang besi pula mungkin akan membakar badan kamu atau bajumu atau engkau mencium bau busuk daripadanya. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim).
Nukilan : http://www.resepirahsiaku.com/

CADANGAN SAYA

Sempena cuti persekolahan ini, ibu bapa dicadangkan memantapkan Akidah, Akhlak dan Akademik  anak dengan menghantar mereka mengikuti kursus kem anjuran Darul Imtiyaz Management ( DiM) di Negeri Melaka.( sila rujuk pamplet DI ruang KEM CUTI SEKOLAH 2011)
1) KEM TAHFIZ 
2) KEM PERKAMPUNGAN ILMU

Mudah-mudahan mereka mendapat manfaat dan menjadi anak yang mempunyai jati diri mukmin, berwawasan dan berketrampilan, sekali gus dapat menghadapi pelbagai cabaran yang mengelilingi mereka.


“ Melahirkan Insan Bermotivasi, Berilmu dan Pintar Berfikir “


Wednesday, 12 October 2011

BICARA PENDIDIKAN

Pelajar autisme calon harapan peroleh 9A

Ketua Sektor Pendidikan Khas JPN, Ngah Bidin (kiri) dan Pengetua SMKA Sheikh Abdul Malik, Rabiah Ab. Samad memberi kata-kata perangsang kepada Muhammad Danial di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Muhammad Danial Zainuddin, 16, mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.

Namun, autisme tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik dekat sini menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini bersama calon lain. Apa yang membezakannya dengan pelajar lain ialah anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan satu-satunya pelajar pendidikan khas yang mengambil peperiksaan tersebut di sekolah itu dan merupakan calon harapan bagi mendapat 9A.
Dia pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu kerana memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Muhammad Danial merupakan antara 23,157 calon PMR di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

Seramai lima banduan muda dan pesalah juvenil dari Sekolah Integriti Marang turut menduduki PMR yang mula didaftarkan sebagai calon sekolah tahun ini.  Muhammad Danial yang gemar bermain catur memperoleh 9A ketika peperiksaan percubaan lalu dan mengambil subjek Bahasa Arab biarpun kebanyakan rakan lain hanya mengambil lapan kertas.
Menurut ibunya, Ruzina Mohd. Ikram, 46, menjaga Muhammad Danial tidak sama dengan kanak-kanak lain kerana dia sangat aktif ketika kecil dan sukar dikawal, namun apabila berumur 10 tahun dia mula gemar membaca.

Ruzina yang ditemui ketika mengiringi Muhammad Danial menduduki PMR bersama Ketua Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan negeri, Ngah Bidin menceritakan, anaknya itu yang mempunyai tabiat pelik iaitu suka melompat secara tiba-tiba mampu membaca banyak buku dalam sehari.  Katanya, keadaan tersebut terpaksa dilaluinya dengan tabah bersama suami, Zainuddin Muhamad, 46.

"Keajaiban berlaku ketika usia anak saya lapan tahun apabila mampu membaca akhbar biarpun sebelum itu mereka tidak pernah mengajar mahupun menghantarnya ke sekolah.
"Kami melihat potensi Muhammad Danial semakin baik di dalam pelajaran dan ketika umurnya 10 tahun dia dimasukkan ke kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran dan ditempatkan dalam darjah tiga," katanya.

 Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

BICARA PENDIDIKAN

Calon bernafas melalui mesin duduki PMR

Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi bersemangat menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu di katil Hospital Besut, Besut, semalam. 
BESUT 4 Okt. - Meskipun terpaksa bergantung kepada mesin untuk bernafas, Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi tetap bersemangat menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di wad Hospital Besut dekat sini hari ini.Dia yang menderita penyakit pseudotumour paru-paru dan abdomen sejak berusia dua tahun terpaksa menggunakan mesin Bilevel Positive Airway Pressure (BIPAP) untuk bernafas tetap mengimpikan kejayaan dalam peperiksaan itu.

Penyakit itu mengakibatkan anak bongsu daripada tiga beradik itu muntah setiap kali mengambil makanan dan minuman sehingga memaksanya kerap menghabiskan masa di hospital dan rumah.
Mohamad Firdaus agak bernasib baik kerana bapanya seorang guru dan mendapat bantuan untuk membeli mesin BIPAP berharga RM58,000 yang boleh dibawa ke mana sahaja bagi memastikan dia dapat bernafas dengan selesa.

Mohamad Firdaus yang menjalani beberapa peringkat pembedahan bergantung kepada mesin itu yang disalurkan menerusi satu tiub di kerongkong ke usus selain sebuah alat penyedut bagi mengeluarkan kahak.  Dia yang bercita-cita menjadi doktor tetap menduduki peperiksaan itu meskipun tidak dapat hadir walaupun sehari ke sekolah sepanjang tahun ini.

Semasa di tingkatan satu, dia hanya sempat menghadirkan diri ke sekolah selama satu setengah bulan manakala semasa di tingkatan dua sekadar dua minggu.Semasa belajar di tahun enam, dia hanya sempat hadir selama sebulan dan meskipun begitu dengan semangat yang tinggi dia mampu memperolehi 1A, 1B dan 3C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Di Alor Setar, Kedah, seramai lima pelajar terpaksa menduduki PMR di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana sedang menjalani rawatan di hospital itu. Kesemua mereka termasuk seorang dari Pulau Pinang kelihatan tenang sewaktu menjawab soalan bagi tiga kertas peperiksaan mulai pukul 9 pagi hingga 2 petang. Mereka adalah Muzammil Azizan dari SMK Sri Ampang Kuala Kedah, Noraini Abdul Razak (SMK Kuala Nerang), Nurul Anis Zakaria (SMK Lubuk Merbau), Nor Amira Muhammad Fisol (SMK Langgar) dan Mohd. Syamil Abdul Hamid (SMK Tun Syed Shahabuddin Pulau Pinang).

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm