1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa
cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti
diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini
kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji
pada hari pertama peperiksaan. Jika melakukan demikian, bermakna anda telah
membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak
dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon
membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain
mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Oleh itu, anda jangan
jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan
tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan
soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata
pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini,
jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi
semua. Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari
di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan
calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk
mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran. Apa-apa
pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat
dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan
kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a) Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh
beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar
secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil
peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan
membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda
mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun
bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa
makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan
dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun
sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu,
apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda
minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini
kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang
kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia
seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang
berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu
pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan
menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan
beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak
lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan.
Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas
peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b) Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah
atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan
terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan,
malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah,
antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap
peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan
minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam
keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk
menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah
itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus
menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang.
Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda
fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar
itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang
ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu.
Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita
pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya
tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan
objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada
pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah
dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab
soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali
alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c) Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu
kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau
sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati
jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran
terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas
soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan,
bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu
perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi.
Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang
boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah
supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap
peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang
dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan
kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya
kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata
terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Selamat mencuba .....
No comments:
Post a Comment